Free PALESTINE Cursors at www.totallyfreecursors.com
Usop  Fariz  Khubaib  Audi
Image by Cool Text: Free Graphics Generator - Edit Image Selamat Datang Ke Halaman Kami
Image by Cool Text: Logo and Button Generator - Create Your Own Logo

Saturday 20 December 2014

AHLI-AHLI FIQH

Siapakah ahli-ahli Fiqh?

Ahli-ahli fiqh bermaksud orang yang pakar dalam Fiqh. Di dalam bahasa Arab ia dinamakan sebagai al-Faqih atau jamaknya al-Fuqahak. Di kalangan Fuqahak atau ahli-ahli Fiqh ada yang mengeluarkan pandangan sendiri tanpa terikat dengan mana-mana ahli Fiqh yang lain sama ada yang hidup sebelum atau sezaman dengan mereka. Mereka mencipta atau mengasaskan usul-usul atau kaedah-kaedah untuk mengeluarkan hukum dari al-Quran dan as-Sunnah dan berijtihad dengan kemampuan sendiri tanpa terikat dengan Faqih atau ahli Fiqh yang lain. Mereka dinamakan sebagai Mujtahid Mustaqil iaitu orang yang mempunyai kemampuan berijtihad secara berdikari. Bilangan mereka adalah sedikit.

Ada di kalangan Fuqahak (ahli-ahli Fiqh) yang menjadi murid atau pengikut kepada Mujtahid Mustaqil di atas. Mereka memiliki kemampuan untuk berijtihad, namun ijtihad mereka tidaklah bebas, sebaliknya terikat dengan usul atau kaedah yang diasaskan oleh guru mereka atau tokoh Mujtahid sebelum mereka. Mereka dinamakan Mujtahid Muntasib atau Mujtahid Mazhab. Fuqahak atau ahli-ahli Fiqh dari jenis ini adalah yang terbanyak. Malah selepas kemunculan Imam-Imam Mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafiie dan Imam Ahmad, hampir keseluruhan Fuqahak adalah menjadi pengikut salah satu dari empat mazhab tersebut. Mereka dikenali sebagai Fuqahak Mazhab atau ulamak-ulamak mazhab.

Siapakah contoh ahli Fiqh yang mencapai darjat mujtahid mustaqil?

Contoh mereka ialah;
1. Imam Abu Hanifah (an-Nu’man bin Tsabit al-Kufi); meninggal tahun 150 Hijrah.
2. Imam al-Auza’ie (‘Abdurrahman bin Muhammad); meninggal tahun 157 Hijrah.
3. Imam Sufyan as-Sauri (Sufyan bin Sa’id); meninggal tahun 161 Hijrah.
4. Imam al-Laith bin Sa’ad; meninggal tahun 175 Hijrah.
5. Imam Malik bin Anas; meninggal tahun 179 Hijrah.
6. Imam as-Syafi’ie (Muhammad bin Idris); meninggal tahun 204 Hijrah.
7. Imam Ahmad bin Hanbal; meninggal tahun 241 Hijrah.
8. Imam Daud az-Zahiri (Daud bin ‘Ali); meninggal tahun 270 Hijrah.
9. Ibnu Jarir at-Tabari (Muhammad bin Jarir); meninggal tahun 310 Hijrah.

Siapakah contoh ahli-ahli Fiqh yang menjadi mujtahid Mazhab?

Contoh mereka;
1. Imam Abu Yusuf; meninggal tahun 182 Hijrah (mujtahid mazhab Abu Hanifah)
2. Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani; meninggal tahun 187 Hijrah (mujtahid mazhab Abu Hanifah)
3. Ismail bin Yahya bin Ismail al-Muzani; meninggal 264 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
4. Ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi; meninggal 270 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
5. Yusuf bin Yahya al-Buwaithi; meninggal 231 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
6. Ibnu al-Qasim; meninggal tahun 191 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Malik)
7. Imam Sahnun (‘Abdussalam bin Sa’id at-Tanukhi); meninggal tahun 204 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Malik).
8. Imam Abu Thalib (Ahmad bin Hamid al-Misykani); meninggal tahun 244 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Ahmad)
9. al-Qadhi ‘Abu Ya’la (Muhammad bin al-Husain); meninggal tahun 458 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Ahmad).
10. Imam Ibnu Hazm al-Andalusi; meninggal tahun 456 Hijrah (mujtahid mazhab az-Zahiri).

Siapkah Fuqahak zaman ini?

Yang kita maksudkan dengan Fuqahak zaman ini ia ahli-ahli Fiqh yang masih berkhidmat hingga hari ini dalam memberi fatwa kepada umat Islam, memastikan hukum atau pendirian Syarak bagi masalah-masalah baru yang tidak berlaku pada zaman-zaman yang lalu seperti masalah yang berkait dengan bank, saham, pengubatan moden dan sebagainya. Adakalanya mereka mengeluarkan fatwa atau pandangan secara individu dan adakalanya secara kolektif melalui Institusi-Institusi Fatwa yang mereka anggotai atau persidangan-persidangan Fiqh yang diadakan. Antara mereka ialah;
1. Dr. Yusuf al-Qaradhawi; Seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir. Banyak menghasilkan penulisan-penulisan dalam semua bidang Islam termasuk Fiqh. Antara karya Fiqhnya yang terkenal ialah “Fiqh az-Zakah” sebanyak dua jilid. Beliau memiliki buku koleksi fatwanya yang terkenal dan sentiasa menjadi panduan umat Islam iaitu “Fatawa Mu’ashirah”.
2. Dr. Wahbah az-Zuhaili; Seorang Ulamak dari Syiria. Telah menghasil satu karya Fiqh yang lengkap bernama “al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu” (sebanyak lapan atau sembilan jilid) yang merupakan antara buku Fiqh Perbandingan pelbagai mazhab yang terlengkap dihasilkan di zaman ini. Beliau juga menulis buku Ushul Fiqh (dua jilid) dan Tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk bernama Tafsir al-Munir.
3. Dr. Muhammad Bakr Ismail; Seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir. Telah menghasilkan buku Fiqh yang lengkap bertajuk “al-Fiqh al-Wadhih” (dua jilid), buku himpunan fatwa tersendiri bertajuk “Baina as-Sail Wa al-Faqih” dan buku lengkap berkenaan Qaedah Fiqh bertajuk “al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asholah Wa at-Taujih”.
4. Syeikh ‘Athiyah Saqar; Seorang ulamak al-Azhar, Mesir. Pernah menjawat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar. Beliau mempunyai buku himpunan Fatwanya tersendiri yang diberi nama “al-Islam Wa Masyakil al-Hayah” sebanyak enam jilid.
5. Syeikh Abdul Aziz Bin Baz; Bekas mufti Kerajaan Arab Saudi. Seorang ulamak buta, namun ilmunya mengalahkan orang-orang yang celik. Menjadi sandaran fatwa khususnya bagi golongan Salafi atau yang bermazhab Hanbali.
6. Dr. Ahmad as-Syirbasi; Seorang ulamak al-Azhar, Mesir. Buku himpunan fatwanya yang masyhur ialah “Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah” sebanyak lapan jilid.
7. Dr. Abdul Karim Zaidan; Seorang ulamak kelahiran Iraq, namun hari ini tinggal di Yaman. Banyak menghasilkan penulisan-penulisan termasuk dalam bidang Fiqh. Antara bukunya yang masyhur dalam bidang Fiqh ialah “Fiqh al-Mar’ah” (Fiqh Wanita) sebanyak sembilan jilid. Beliau juga menghasilkan buku Ushul Fiqh bertajuk “Al-Wajiz Fi Ushul-Fiqh”. Selain itu banyak kajian-kajian ilmiah dalam bidang fiqh yang beliau hasilkan untuk mengupas masalah-masalah semasa.

Nama-nama yang kita sebutkan di atas hanya sekadar contoh sahaja. Selain mereka terdapat banyak lagi tokoh-tokoh Fiqh hari ini yang tidak dapat kita sebutkan di sini.

Apa hukum taqlid atau itba’ mazhab?

Taqlid atau Itba' dari segi bahasa bermakna meniru dan mengikut orang lain. Setiap orang yang mengikut atau meniru orang lain, maka ia dinamakan Muqallid atau Muttabi'. Ada di kalangan Ulamak membezakan antara Taklid dan Itba' di mana taklid ialah mengikut orang lain tanpa memerhati dalil dan hujjah, adapun Itba' ialah mengikuti orang lain berdasarkan dalil dan hujahnya. Jika perbezaan ini dapat dibenarkan, maka Muttabi' adalah lebih baik dari Muqallid.
Sama ada harus atau tidaknya taklid atau itba' di sisi agama bergantung kepada kemampuan seseorang;

1. Seorang yang mampu berijtihad sendiri dari al-Quran dan as-Sunnah, atasnya haram taklid kerana ia seorang Mujtahid.

2. Seorang yang tidak mampu berijtihad, maka ia wajib mengikuti atau mengambil panduan dari ulamak yang mujtahid. Kewajipan ini berpandukan firman Allah (yang bermaksud); "…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui" (an-Nahl: 43). Begitu juga, Nabi –sallallahu 'alaihi wasallam bersabda; "Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya" (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni).

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; "Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh…". (Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh)

3. Orang yang tidak sampai darjat mujtahid, tetapi ia mampu menilai pandangan para mujtahid, dalil-dalil dan jalan-jalan istinbat mereka. Bagi orang ini, ia hendaklah berusaha mengetahui dan memahami dalil ulamak mujtahid yang diikutinya. Inilah yang dapat kita fahami dari salah satu taujihad Imam Hasan al-Banna dalam Usul ‘Isyrinnya; "Setiap orang Islam yang belum sampai tahap kemampuan memerhati/mengkaji sendiri dalil-dalil bagi hukum-hakam Syarak dalam masalah furu' (cabang) hendaklah ia mengikut salah seorang Imam dari Imam-Imam (mujtahid) dalam agama ini. Namun adalah lebih baik di samping mengikut itu ia berusaha sedaya mungkin untuk mengetahui dalil-dalil (yang dipakai oleh Imamnya)…". (Usul al-'Isyrin, Risalah at-Ta'alim).

Apa makna talfiq? Adakah harus bertalfiq? 

Talfiq bermaksud : seseorang itu mengikut / bertaqlid satu mazhab tertentu dalam ibadahnya, kemudian dalam satu keadaan atau bahagian-bahagian tertentu ia mengikuti / bertaqlid pula kepada mazhab atau pandangan yang lain. Adakah perbuatan ini harus?
Menurut ulama, sekalipun seorang itu bertaqlid kepada suatu mazhab, tidak haram baginya untuk berpindah mazhab secara keseluruhannya atau pada masalah-masalah tertentu.Tetapi keharusan itu tertakhluk dengan syarat-syarat berikut:

1. Hendaklah mazhab yang diikuti merupakan mazhab yang masyhur khususnya mazhab-mazhab yang empat. Jika pandangan atau tarjih, hendaklah dari ulama yang diiktiraf dan diakui oleh umat akan keilmuannya.

2. Tidak bertujuan mencari yang mudah-mudah dari pandangan-pandangan mazhab.

3. Tidak membuat himpunan antara mazhab-mazhab dalam bentuk yang membawa percanggahan dengan pandangan sekalian ulama atau ijma’ mereka.

Contohnya, seorang berkahwin tanpa wali kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan wali dalam akad perkahwinan, tanpa saksi kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Malik yang tidak mewajidkan saksi dan tanpa mas kahwin kerana bertaqlid kepada mazhab Abu Hanifah yang mengharuskan jika diletakkan syarat oleh pihak lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan. Perkahwinan tanpa tiga perkara tersebut tidak dianggap sah oleh sekalian ulama. Maka talfiq sebegini adalah haram kerana menyalahi ijma' ulama. (Rujuk Taqrib Al Usul, Abi Al Qasim al Gharnati halaman 158 ).

Menurut Dr Abd Karim Zaidan; "Harus seorang pengikut mazhab mengikut atau beramal dengan pandangan mazhab lain asalkan hal tersebut dilakukannya kerana suatu dalil yang mengajaknya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu. Begitu juga harus ia bertanya ulama yang bukan dari mazhabnya berkenaan suatu hukum syarak dalam suatu masalah dan beramal dengan fatwa yang diberikan". ( Al Wajiz Fi Usul – Fiqh; halama 409 )

Kesimpulannya, talfiq diharuskan jika tujuannya bukan untuk mempermudah-mudahkan agama seperti sengaja mencari pandangan-pandangan yang senang dan mudah dari mazhab-mazhab yang ada untuk menjadi amalan atau pegangan agama.Talfiq sebegini akan membawa kepada rosak agama jika dibenarkan.

Apa maksud tarjih? Siapa yang berhak melakukan tarjih?

Tarjih bermaksud membuat penilaian dan pemilihan terhadap dalil-dalil yang dilihat bertentangan atau terhadap beberapa pandangan yang berlawanan iaitu dengan menselarikan antara dalil-dalil jika dapat dilakukan atau memastikan dalil yang mana paling kuat jika tidak dapat diselarikan.

Jika tarjih dibuat terhadap pandangan-pandangan, tujuannya ialah untuk memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati segi syarak. Pentarjihan harus dilakukan oleh orang-orang berkelayakan samada mujtahid atau fuqaha' dan tidak harus sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang yang jahil atau medakwa alim kerana boleh membawa kepada merosakkan agama.

Proses pentarjihan berjalan sejak dari dulu hingga ke hari ini.Para ulama' yang menjadi sandaran umat pada zamannya akan membuat tarjih terhadap pandangan-pandangan yang berbeza oleh ulama'-ulama' sebelumnya dalam sesuatu kes supaya orang awamdapat mengetahui dan beramal dengan pandangan yang paling tepat dengan hukum syarak. Imam Nawawi sebagai contohnya di dalam berdepan dengan masalah seorang yang terpaksa solat dalam keadaan tidak bersuci kerana tidak ada air untuk mengambil wudhuk dan tidak da debu untuk bertayammum. Adakah ia wajid solat juga dan adakah wajib ia mengulangi solatnya? Sebelum beliau ada 4 pandangan ulama' :
1. Wajib solat dan wajid ulang.
2. Haram solat.Mesti tunggu hingga dapat bersuci baru tunaikan solat sekalipun di luar waktu.
3. Sunat solat dan wajib diulangi solat tersebut.
4. Wajib solat dan tidak wajid mengulanginya.
Imam Nawawi dalam tarjih beliau telah memilih pandangan yang keempat kerana menurut beliau pandangan itu menepati syarak. (lihat Syarah Sahih Muslim).

Itu adalah satu contoh dari ribuan tarjih yang dilakukan ulama'. Kita sebagai orang awam hendaklah sentiasa mendampingi ulama' dan beramal dengan tarjih mereka. Adapun kita hendak memandai-mandai sendiri tidak harus. Pada hari ini, contoh ulama' yang mempunyai kelayakan untuk melakukan tarjih ialah Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi. Keilmuan beliau diakui oleh ulama-ulama sezaman dan umat Islam sendiri. Dalam masalah zakat ke atas produk pertanian sebagai contohnya, dikalangan ulama-ulama silam ada yang menyempitkan skop pertanian yang wajid zakat kepada jenis-jenis tertentu sahaja. Mazhab Syafie hanya mewajidkan zakat pertanian ke atas bijian yang menjadi makanan ruji masyarakat setempat. Namun, ada ulama yang memperluaskan skop pertanian yang wajid zakat kepada semua jenis pertanian asalkan memenuhi syarat-syarat dari segi nisab dan sebagainya yang ditetapkan syarak. Maka, Dr Yusuf Qaradhawi dalam buku Fiqhuz-Zakahnya, beliau telah mentarjihkan pandangan yang kedua dan tarjih beliau diterima dan diamalkan oleh keseluruhan negara umat Islam hari ini.

MENGENALI ILMU FIQH

Apa maksud ilmu Fiqh?
Dari segi bahasa kalimah Fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan ulamak kepada memahami ajaran Islam yang berkaitan dengan hukum-hakam amali sahaja, iaitu percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah dan akhlak.

Secara lebih jelas, ilmu Fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai; "Ilmu berkenaan hukum-hakam Syarak yangbersifat 'amali yang diperolehi dari dalil-dalilnya secara terperinci".

Huraian;

1. Para ulamak membahagikan hukum-hakamSyarak kepada tiga iaitu;
a) Hukum-hakam I’tiqad
b) Hukum-hakam ‘Amali
c) Hukum-hakam akhlak.
Medan pengajian ilmu Fiqh ialah yang kedua di atas iaitu hukum-hakam amali. Ilmu Fiqh tidak menyentuh tentang hukum-hakam I’tiqad, begitu juga tidak menyentuh tentang akhlak.

2. Perkataan Syarak bermaksud Allah dan Rasul. Dalil-dalil Syarak pada dasarnya ialah Kitab Allah (yakni al-Quran) danSunnah RasulNya. Namun secara terperinci ia merangkumi juga Ijmak, Qiyas dan sebagainya.

Apakah tujuan mempelajari ilmu Fiqh? 
Tujuan mempelajari ilmu Fiqh ialah untuk mengetahui hukum-hakam Syara’ mengenai setiap tingkah laku manusiadan melaksanakan hukum-hakam tersebut dalam kehidupan dalam segenap ruang dan lapisannya.

Ilmu Fiqh amat berguna sama ada kepada ulama’, mufti, qadhi mahupun orang awam biasa. Bagi para ulama, mufti dan qadhi, mereka perlu mendalami ilmu ini untuk mengajar orang ramai tentang hukum Syara’, memberi fatwa dan memutuskan hukuman terhadap sesuatu kes.
Adapun orang awam, mereka perlu mengetahui ilmu ini agar dapat menjalani kehidupan seharian bertepatan dengangaris panduan yang ditetapkan Syara’.

Apa maksud hukum Syarak?
Kita sebutkan tadi bahawa tujuan mempelajari ilmu Fiqh ialah untuk mengetahui hukum Syara’ atas setiap perbuatan kita. Apa yang dimaksudkan dengan hukum Syara’? Hukum Syara’ ialah "Ketetapan dari Allah ke atas perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya". Ketetapan ini diketahui berdasarkan penelitian terhadap dalil-dalil Syara' iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma', Qias dan sebagainya oleh para ahli Fiqh atau Mujtahid.

Berapakah pembahagian hukum Syarak? 

Melihat kepada pengertian hukum di atas, dapat kita simpulkan bahawa perbuatan-perbuatan hamba mengikut hukum Syarak berada dalam tiga bahagian besar;

Pertama; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan

Kedua; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan

Ketiga; Perbuatan-perbuatan yang diberi pilihan (yakni terserah kepada manusia sama ada ingin melakukannya ataumeninggalkannya)

Kemudian, bahagian pertama dan kedua terbahagi pula kepada dua jenis;

Pertama; Yang dituntut secara jazam iaitu tuntutan mesti.

Kedua; Yang dituntut tidak secara jazam, iaitu tuntutan secara galakan sahaja, bukan tuntutan mesti atau wajib.

Bagi bahagian pertama (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan), jika jenis tuntutan adalah jazam (yakni mesti), maka ia dinamakan wajib. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan sunat. Bagi bahagian kedua pula (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan), jika jenis tuntutanadalah jazam (yakni mesti), maka ia dinamakan haram. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan makruh.

Kesimpulan
Setelah memahami pengertian dan pembahagian hukum Syarak di atas, dapat kita simpulkan perbuatan-perbuatan mukallaf mengikut hukum Syarak terbahagi kepada lima jenis;

1. Yang wajib; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang mesti dilakukan di mana jika ditinggalkan akan berdosa.

2. Yang sunat; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang digalakkan melakukannya oleh Syarakiaitu diberi pahala sesiapa yang melakukannya, namun tidaklah berdosa jika ditinggalkannya.

3. Yang haram; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang mesti ditinggalkan di mana jika dilakukan akan berdosa.

4. Yang makruh; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang digalakkan meninggalkannya iaitu diberi pahala kepada orang yang meninggalkannya (kerana Allah), namun tidak dikira berdosa jika dilakukannya.

5. Yang mubah (harus); iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang diserah kepada pilihan manusia samaada ingin melakukannya atau meninggalkannya di mana sebarang pilihannya tidak akan membawa implikasi dosa atau pahala.

Tidak ada perbuatan mukallaf dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya melainkan tertakluk dengan salah satudari hukum lima di atas.

Apa makna mukallaf? Siapakah yang dikatakan sebagai mukallaf?
Mukallaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif Syarak (yakni tuntutan dankewajipan Syarak). Orang yang mukallaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perbuatan dan perlakuannya tertakluk dengan hukum yang telah ditetapkan oleh agama sama ada wajib, haram, harus dan sebagainya tadi. Syarat-syarat mukallaf ialah:
1. Telah sampai umur (yakni baligh)
2. Memiliki akal yang waras
3. Sampai dakwah kepadanya
4. Sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.

Siapakah orang-orang yang terkeluar dari kelompok mukallaf?
Dari takrif dan syarat-syarat mukallaf tadi, terkeluar dari kelompok mukallaf:
1. Kanak-kanak yang belum baligh. Kanak-kanak yang mati sebelum baligh, ia akan selamat (dari siksaan Allah)sekalipun anak-anak orang kafir.
2. Orang gila atau tidak siuman
3. Orang-orang yang tidak sampai dakwah kepadanya termasuklah ahlul-fatrah iaitu orang-orang yang hidup di antara zaman pengutusan Rasul (*yakni mereka jauh dari Rasul yang terdahulu dan tidak berkesempatan dengan Rasul yang bakal datang) atau hidup di zaman Rasul yang bukan diutuskan kepada mereka. Mereka akan selamat dari siksaan Allah kerana tidak sampai dakwah kepada mereka.
(Rujuk: Hasyiyah Imam al-Baijuri ‘ala Jauharati-Tauhid, hlm. 67-68).

Apa cabang-cabang ilmu yang terkandung dalam ilmu Fiqh?
Ilmu Fiqh merangkumi dua bahagian besar;

1. Ibadah; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan. Ia merangkumi ibadah solat, puasa,zakat, haji dan sebagainya.

2. Mu'amalat; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia sesama manusia. Cabang mu’amalat ini merangkumi pula bidang-bidang berikut;

a) Hukum-hakam tentang kekeluargaan yang merangkumi perkahwinan, perceraian, perwarisan, nafkah dan sebagainya.

b) Hukum-hakam tentang harta seperti jual-beli, sewa-menyewa, gadaian, jaminan dan sebagainya.

c) Hukum-hakam tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi kewajipan melantik ketua negara, tanggungjawab ketua negara/pemimpin dan hak dan kewajipan rakyat/warga negara.

d) Hukum-hakam tentang kehakiman/pengadilan merangkumi membuat keputusan (al-qadha), pendakwaan, prinsip-prinsip hukuman, kesaksian, sumpah, keterangan dan sebagainya.

e) Hukum-hakam tentang ahli Zimmah (orang bukan Islam yang mendiami dalam negara Islam) merangkumi hak-hak dan tanggungjawab mereka terhadap negara dan sebagainya.

f) Hukum-hakam tentang hubungan antarabangsa merangkumi hubungan negara Islam dengan negara-negara luar di masa damai atau ketika perang.

g) Hukum-hakam tentang kewangan negara merangkumi sumber-sumber pendapatan negara dan perbelanjaan-perbelanjaannya.

h) Hukum-hakam tentang jenayah dan hukuman; merangkumi penetapan perkara-perkara yang terlarang dan hukuman-hukumannnya, cara-cara menetapkan/mensabit kesalahan-kesalahan jenayah dan perlaksanaan hukuman terhadapnya.

Apakah sumber-sumber ilmu Fiqh?

Sumber-sumber ilmu Fiqh bermaksud dalil-dalil yang menjadi sandaran ahli-ahli Fiqh (Faqih atau Fuqahak) dalam mengeluar hukum-hakam Fiqh. Ia terdiri dari sumber-sumber asal dan sumber-sumber sokongan. Sumber asal bagi ilmu Fiqh ada dua sahaja iaitu;

1. Al-Quran
2. As-Sunnah

Sumber-sumber sokongan bermaksud dalil-dalil tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkanhukum-hakam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al-Quran dan as-Sunnah). Ia terdiri dari;

1. Ijmak
2. Qiyas
3. Istishab
4. Masalih Mursalah
5. Istihsan
6. 'Uruf
7. Syari'at terdahulu